Wednesday, March 19, 2014

C.I.N.T.A

Cinta.

Aku percaya majoriti daripada masyarakat dunia khususnya rakyat Malaysia seperti aku pernah melalui zaman bercinta. Persoalannya sekarang kenapa kita tetap akan melalui zaman berperasaan ini? Dan kenapa aku tiba-tiba terasa nak menaip berkaitan isu cinta ini? Kenapa kenapa dan kenapa?

Berbalik kepada topik asal;
Cinta terbahagi kepada TIGA zaman yakni zaman jahiliah, zaman pra matang dan zaman matang.

Namun demikian, tiga zaman ini hanyalah sekadar 'imaginasi' aku semata-mata, tiada fakta yang benar mengenai apa yang aku sampaikan ini.

Nota: Aku menulis apa yang terlintas di kotak fikiran sahaja, tiada kena mengena dengan segala yang hidup mahupun yang tidak pernah hidup.

Zaman Jahiliah
Senang cerita, zaman ini lebih dikenali dengan panggilan 'cinta monyet'. Aku percaya rata-rata daripada kita pernah melalui zaman ini dalam keadaan separuh sedar ataupun tanpa sedar. Keadaan-keadaan ini bermaksud pada mulanya tujuan kita hanya sekadar suka-suka menyakat atau mengacau hidup orang yang berkenaan. Tetapi tanpa kita sedar, lahir perasaan 'cinta monyet' yang membuatkan kita suka dan rasa tidak senang duduk kalau tak ganggu hidup orang tersebut. Namun perasaan ini berstatus sementara sahaja dan kebiasaannya tidak kekal dan mengikut peredaran zaman serta peningkatan umur. Pernah rasa?

Zaman Pra Matang
Senang cerita, zaman budak sekolah. Biasanya zaman sekolah menengahlah. Ikut peningkatan umur dan pengaruh rakan sebaya, perasaan ini dianggap normal di kalangan para pelajar, zaman remaja adalah zaman yang dikatakan 'baru nak up' dan sering mencari dan berubah-ubah identiti cara hidup tersendiri. Pengaruh kawan amat kuat pada zaman ini, kebiasaannya remaja akan meniru perwatakan kawan baik mereka sendiri. Jika kawan ini ada teman atau pasangan, remaja tersebut pun pasti akan mempunyai naluri tersebut. Apa yang aku katakan zaman pra matang di sini adalah kerana pada zaman ini, mereka masih tidak matang dalam percintaan. Kemungkinan besar rasa cinta pada zaman ini boleh diibaratkan 'bagai menukar pakaian harian'. Kebiasaannya hubungan cinta yang terjalin tidak bertahan lama dan dianggap sekadar hiburan semata-mata.

Zaman Matang
Senang cerita, zaman ini lebih sesuai dikategorikan sebagai zaman mencari cinta kerana Ilahi. Manusia semakin matang dalam mencari maksud cinta sebenar, dan bertekad untuk kekal selamanya dengan ikatan yang sah kerana Allah S.W.T. Kebiasaannya zaman matang ini dilalui oleh golongan dewasa yang berfikiran jauh dan matang serta kukuh dalam pelbagai aspek; ekonomi mahupun ilmu duniawi dan ukhrawi. Nyata zaman ini lebih serius berbanding zaman-zaman sebelumnya.

Apa yang cuba aku sampaikan sebenarnya adalah kita sebagai hamba Allah hanya mampu merancang, namun Allah jualah sebaik-baik perancang. Tujuan kita melalui zaman-zaman ini adalah supaya kita menjadi seorang yang benar-benar matang dan mengenali apa maksud sebenar CINTA.

Cinta kepada Allah adalah sebaik-baik cinta yang sebenarnya.

Wallahu a'lam.